Di sebuah makmal satu kajian dijalankan kepada seekor tikus putih. Tikus ini dilepaskan ke dalam sebuah bekas yang mempunyai laluan sesat dan jalannya berliku-liku. Uji kajinya mudah, tikus diletakkan di permulaan laluan untuk mendapat seketul keju yang diletakkan di hujung laluan tersebut. Tikus ini mula berlari di laluan sesat dan beberapa kali tersalah. Terhinjut-hinjut, undur kembali, mencari laluan yang betul dan akhirnya sampai ke tempat keju.
Kemudian tikus itu diangkat keluar. Beberapa ketika ia diletakkan kembali ke permulaan laluan buat kali kedua. Ia berlari dan kali ini berjaya mengurangkan silap dalam perjalanannya untuk sampai ke tempat keju, sebagai ganjaran ia menikmati keju tersebut.
Kali ketiga dilepaskan tikus putih, ia bergerak dengan pantas penuh yakin tanpa sebarang silap untuk mendapatkan keju kegemarannya.
Tikus yang sama dikembalikan di permulaan laluan untuk kali yang berikutnya. Seperti sebelumnya ia bergerak ke arah keju. Tetapi kali sebelum sempat sampai, keju itu telah diangkat keluar dan apabila ia sampai ia mendapati keju telah tiada.
Ujian diteruskan, tikus sekali lagi diletakkan di permulaan laluan dan keju diletakkan di hujung laluan. Tikus terus berlari untuk mendapatkan keju. Seperti tadi sebelum sempat sampai, keju dikeluarkan dan apabila sampai didapati keju tiada, hampa.
Untuk meneruskan uji kaji, tikus diletakkan dipermulaan laluan sekali lagi dan dihujungnya diletakkan keju. Apabila dilepaskan, kali ini tikus putih tidak bergerak sama sekali. Dia hanya mendiam diri, membatu.
Apa yang dapat kita lihat ialah tikus terus belajar dan tidak mahu mengulangi salah dan silapnya. Tikus pandai serik.
Namun, manusia tidak pandai serik. Walaupun melakukan sesuatu kesalahan sama berulang-ulang kali dalam hidupnya. Kemudian menerima akibat yang buruk dan hidupnya musnah, manusia tetap tidak serik. Seolah-olah ada ganjaran besar menunggu kepada setiap kesakitan dan kemusnahan sehingga manusia tetap tidak belajar, tidak mengambil iktibar dan terus menderita.
Justeru itu, kalaulah kita telah silap (memang setiap kita silap), ingatlah serik itu U-Turn terakhir untuk kembali ke jalan betul. Sekiranya tidak, jalan lurus itu akan membawa kita kepada kemusnahan dan yang lebih malang kita akan merasa lali di atasnya
(Dipetik dari buku U-Turn ke Jalan Lurus - Zul Ramli M. Razali)
No comments:
Post a Comment