Alamat

Azemee bin Sulaiman
SMK Seri Tangkak
Jalan Payamas
84900 Tangkak
Ledang, Johor


Utama

Tuesday, June 29, 2010

Solat Hatim Al-Hisyam

Hatim menjawab ketika ditanya bagaimana beliau solat?

"Ketika tiba waktu solat, aku berwudhuk dengan lengkap dan menghampiri tempat solatku. Kemudian aku duduk di situ hingga seluruh tubuhku tertumpu untuk solat. Lalu aku memulakan solat dengan membayangkan Kaabah seolah-olah berada di hadapanku. As-Shirath (jambatan) berada di bawah kakiku, syurga di sebelah kananku dan neraka di sebelah kiriku, dan malaikat maut di belakangku. Aku menganggap solatku itu adalah solatku yang terakhir. Kemudian aku mengerjakannya dengan perasaan cemas dan mengharap. Aku bertakbir dengan sepenuh hati, melantunkan ayat-ayat Quran dengan tertib. Aku melakukan rukuk dengan tawaduk dan bersujud dengan penuh khusyuk. Selanjutnya aku duduk di atas kaki kiri dengan melunjurkan tapaknya dan menegakkan tapak kaki kanan di atas ibu jari. Kemudian, aku pun mengakhiri solatku dengan rasa ikhlas. Namun aku tidak tahu apakah Allah menerima solatku itu ataupun tidak!"

Begitulah al-Hatim menilai solatnya. Dia tidak tahu adakah Allah menerima ataupun tidak solatnya yang begitu khusyuk itu. Dia juga tidak tahu adakah solatnya itu dapat menjauhkannya dari neraka ataupun tidak. Bagaimana dengan kita? Tentu kita juga tidak tahu adakah solat kita diterima ataupun tidak. Hanya Allah yang maha tahu. Justeru itu, lebih penting lagi bagi kita menilai solat kita.

Thursday, June 10, 2010

SIFAT IBADURRAHMAN - Takut Neraka

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud :

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (Ibadurrahman) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan. Dan mereka yang tekin mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, dan juga mereka berdoa dengan berkata : "Wahai Tuhan kami, jauhkan azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah amat mengerikan. Sesungguhnya neraka Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan temapat kediaman." [Surah al-Furqaan : 63 - 66]

Allah menyifatkan hamba-hamba ini (Ibadurrahman) sebagai berikut :
  • Berjalan di muka bumi dengan rendah hati, dan ini merupakan keadaan di dalam diri mereka.

  • Mengucapkan kata-kata yang baik jika mereka disapa orang-orang yang jahil. Ini merupakan cara pergaulan mereka bersama orang lain.

  • Melalui waktu malam hari dengan bersujud dan berdiri menghadap Rabb mereka. Ini merupakan keadaan mereka bersama Allah. Di kala orang lain lalai dan tidur lena, mereka itu bangun dan solat menghadap kepada Allah.

Lalu apa yang mendorong mereka melakukan hal itu? Tiada lain adalah takut dan berharap. Mereka takut kepada Allah. mereka ingat akhirat, seakan kehidupan akhirat dan neraka terpampang di hadapan mereka secara nyata. Mereka tidak lupa urusan mereka yang pertama, bahawa mereka sedang dalam perjalanan kepada Allah. Meskipun mereka hidup di dunia ini, tetapi mereka pasti akan mati.

Setelah kematian itu mereka dibangkitkan, dan setelah dibangkitkan mereka akan dihisab, setelah itu entah ke syurga dan entah ke neraka.

Wahai kaum Muslimin! Takutlah api neraka, takutlah Jahannam, kerana Allah s.w.t. telah berfirman:

"Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, yang bahan-bahan bakarnya : manusia dan batu-batu, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala perintah-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." [Surah At-Tahriim : 6]

Sekiranya kematian itu merupakan garis penamat dari kehidupan ini, maka permasalahannya boleh menjadi mudah tetapi kematian itu sendiri lebih keras bagi sesuatu sebelumnya dan lebih mudah bagi sesuatu sesudahnya. Setelah kematian ada kebangkitan. setelah kebangkitan ada pengumpulan. Setelah itu ada hisab, timbangan, penyerahan kitab amalan.

Kita tidak tahu apakah kita menerima kitab itu dengan tangan kanan ataukah dengan tangan kiri. Kita tidak tahu ke sisi mana timbangan kita, ke sisi kebaikan ataukah ke sisi keburukan? Apakah timbangan kita menjadi berat sehingga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang hidupnya diredai, ataukah timbangan kita menjadi ringan sehingga kita akan dilemparkan ke neraka?

Yang menjadi masalah wahai kaum Muslimin, dan ini merupakan masalah setiap manusia, bahawa hari akhirat itu benar-benar jauh dari fikiran kita. Kita tidak mahu memikirkan kecuali kehidupan yang ada ketika ini, kesenangan yang terus dirasakan sekarang. Apa yang terjadi besok dan sesudahnya, benar-benar jauh dari fikiran kita dan sama sekali tidak terbayang dalam sanubari kita. Padahal urusanya sangan dekat, dan segala sesuatu yang akan datang itu dekat.

"...dan tiadalah hal kedatangan hari akhirat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi..." [Surah An-Nahl : 77]

Keadaan ini berbeza dengan Ibadurrahman yang sentiasa mengingati akhirat dan selalu memohon agar diri mereka dijauhkan dari neraka Jahannam, kerana seakan seksa neraka Jahannam itu nampak di hadapan mereka.

Thursday, June 3, 2010

Serik ialah Pusingan-U terakhir untuk kembali ke jalan betul

Di sebuah makmal satu kajian dijalankan kepada seekor tikus putih. Tikus ini dilepaskan ke dalam sebuah bekas yang mempunyai laluan sesat dan jalannya berliku-liku. Uji kajinya mudah, tikus diletakkan di permulaan laluan untuk mendapat seketul keju yang diletakkan di hujung laluan tersebut. Tikus ini mula berlari di laluan sesat dan beberapa kali tersalah. Terhinjut-hinjut, undur kembali, mencari laluan yang betul dan akhirnya sampai ke tempat keju.


Kemudian tikus itu diangkat keluar. Beberapa ketika ia diletakkan kembali ke permulaan laluan buat kali kedua. Ia berlari dan kali ini berjaya mengurangkan silap dalam perjalanannya untuk sampai ke tempat keju, sebagai ganjaran ia menikmati keju tersebut.


Kali ketiga dilepaskan tikus putih, ia bergerak dengan pantas penuh yakin tanpa sebarang silap untuk mendapatkan keju kegemarannya.

Tikus yang sama dikembalikan di permulaan laluan untuk kali yang berikutnya. Seperti sebelumnya ia bergerak ke arah keju. Tetapi kali sebelum sempat sampai, keju itu telah diangkat keluar dan apabila ia sampai ia mendapati keju telah tiada.

Ujian diteruskan, tikus sekali lagi diletakkan di permulaan laluan dan keju diletakkan di hujung laluan. Tikus terus berlari untuk mendapatkan keju. Seperti tadi sebelum sempat sampai, keju dikeluarkan dan apabila sampai didapati keju tiada, hampa.

Untuk meneruskan uji kaji, tikus diletakkan dipermulaan laluan sekali lagi dan dihujungnya diletakkan keju. Apabila dilepaskan, kali ini tikus putih tidak bergerak sama sekali. Dia hanya mendiam diri, membatu.

Apa yang dapat kita lihat ialah tikus terus belajar dan tidak mahu mengulangi salah dan silapnya. Tikus pandai serik.

Namun, manusia tidak pandai serik. Walaupun melakukan sesuatu kesalahan sama berulang-ulang kali dalam hidupnya. Kemudian menerima akibat yang buruk dan hidupnya musnah, manusia tetap tidak serik. Seolah-olah ada ganjaran besar menunggu kepada setiap kesakitan dan kemusnahan sehingga manusia tetap tidak belajar, tidak mengambil iktibar dan terus menderita.

Justeru itu, kalaulah kita telah silap (memang setiap kita silap), ingatlah serik itu U-Turn terakhir untuk kembali ke jalan betul. Sekiranya tidak, jalan lurus itu akan membawa kita kepada kemusnahan dan yang lebih malang kita akan merasa lali di atasnya


(Dipetik dari buku U-Turn ke Jalan Lurus - Zul Ramli M. Razali)