Alamat

Azemee bin Sulaiman
SMK Seri Tangkak
Jalan Payamas
84900 Tangkak
Ledang, Johor


Utama

Monday, May 31, 2010

Hidup Kerana Cinta

HIDUPKU untuk cinta - masyhur sekali kata-kata yang dianggap keramat itu. Padahal, hidup adalah untuk beribadat - mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Besar dan Agung. Mana mungkin cinta manusia boleh dijadikan tujuan hidup? Ya, memang cinta perlu dalam kehidupan... tetapi ia bukan tujuan, ia hanya keperluan. Tujuan lebih utama dari keperluan. Sebaik-baiknya, gunakan keperluan untuk mencapai tujuan. Contohnya, Makan adalah keperluan, bukan tujuan. Tenaga yang diperolehi daripada makan itu mesti digunakan untuk mencapai tujuan - yakni memudahkan ibadah.

Sama jugalah seperti cinta... Cuma cinta itu makanan jiwa. Gunakanlah cinta manusia untuk beribadah, atau dengan kata yang lain gunakan cinta manusia untuk mendapat cinta Allah. jangan sampai keperluan dijadikan tujuan... hingga tanpa sedar cinta seolah-olah dianggap Tuhan. Ia telah jadi 'centre' segala-galanya. Nak buat apapun terpaksa merujuk kepada cinta. Jika cinta kata OK, apapun sanggup dilaksanakan. Hingga lautan api (neraka pun??) sanggup direnangi.

Sungguh, Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Hukum-Nya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram hingga menimbulkan fitnah. Tergamak berdua-duan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah pihak yang ketiga. Malah, yang lebih 'buruk' dari itu pun banyak berlaku. Semuanya kerana cinta...

Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta. Bukankah pada waktu itu kita seolah-olah telah 'bertuhankan' cinta? Benarlah firman Allah yang sering mengingatkan :
"Apakah kamu tidak melihat bagaimana ada manusia yang mempertuhankan hawa nafsunya." (al-Jatsiah : 23)

Racun-rcun berbisa yang memusnahkan pohon cinta sejati telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarang tumbuh dan akhirnya berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan - bohsia, bohjan, buang bayi dan zina. Ketika itu indahkah cinta?


(Dipetik daripada buku "Tentang Cinta" - Pahrol Mohd Juoi)